Peningkatan Covid-19 babitkan warga asing melepasi ramalan awal

60

1 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah kes harian membabitkan warga asing yang melepasi ramalan awal.

Ini berdasarkan peningkatan kes berkenaan dapat dilihat dengan ketara sejak 29 April lalu disebabkan kes import dari luar negara, penularan kes Covid-19 dalam kalangan bukan warganegara di beberapa Depoh Tahanan Imigresen (DTI), serta pekerja bukan warganegara pelbagai sektor di dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, ini bermakna negara kini berdepan dengan satu cabaran baharu yang perlu kita tangani bersama, iaitu peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan bukan warganegara.

“Namun, golongan berkenaan tidak harus disisih dan tidak harus distigmakan oleh rakyat Malaysia, malah kita perlu membantu mereka yang secara tidak langsung dapat mengurangkan penularan Covid-19 di negara ini.

Terdahulu, dalam sidang media hariannya, Dr Noor Hisham mengesahkan sebanyak 38 kes baharu Covid-19 dilaporkan di negara ini setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhannya positif ialah 7,857 kes.

Katanya, sebanyak 51 kes pulih daripada Covid-19 dilaporkan hari ini dan ia menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 6,404 kes atau 81.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,338 kes. Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 26 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 12 kes penularan tempatan, enam kes adalah kes bukan warganegara dan hanya enam kes dalam kalangan warganegara Malaysia.

“Sehingga kini, seramai lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua individu masih memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.