Pendengaran kes saman cabar sidang Parlimen 30 Julai

58

1 JUN: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 30 Julai sebagai tarikh mendengar saman yang difailkan dua individu untuk mencabar kesahan sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Memetik laporan Free Malaysia Today, perkara itu dimaklumkan oleh peguam, T Gunaseelan.

Beliau mewakili dua individu berkenaan iaitu peguam, R Kengadharan dan aktivis sosial D Arumugam.

Menurut Gunaseelan, tarikh tersebut ditetapkan berikutan pengurusan kes di hadapan Hakim Nordin Hassan hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya sudah menyerahkan kepada mahkamah kertas mengenai defendan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff pada 21 Mei lalu.

“Kami memaklumkan hakim yang kertas itu diserahkan melalui pos berdaftar memandangkan peraturan mahkamah membenarkannya,” katanya.

Nordin turut memerintahkan Muhyiddin dan Ariff memfailkan afidavit mereka sebagai balasan kepada plaintif menjelang 22 Jun ini.

Kengadharan dan Arumugam pula dibenarkan memfailkan sebarang afidavit lanjut menjelang 6 Julai.

Nordin turut mengarahkan pihak terbabit memfailkan penghujahan bertulis mereka pada 20 Julai sebelum mendengar penghujahan lisan pada 30 Julai.

Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili Jabatan Peguam Negara memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada mereka akan mewakili Muhyiddin dan Ariff, namun tiada bantahan terhadap tarikh pendengaran tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.