Pemandu mabuk dituduh langgar mati penghantar makanan

70

1 JUN: Seorang pekerja kedai aksesori didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan awal pagi tadi.

Walau bagaimanapun, memetik laporan BH Online, tertuduh, Khor Yong Zhang, 21, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja tuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Zhang didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Mohamed Zaili Mohamed, 44.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang mana kandungan dalam badannya sebanyak 161 mg/100 ml iaitu melebihi 81 mg/100 ml daripada had yang ditetapkan sebanyak 80 mg/100 ml.

mabuk
Lokasi kemalangan melibatkan kereta dipandu Zhang dan motosikal yang ditunggang Allahyarham Mohamed Zaili. Gambar: Malaysia Gazette

Berikutan itu, tertuduh tidak berupaya mengawal kenderaan dan menyebabkan kematian kepada penunggang motosikal Honda EX5, Mohamed Zaili Mohamed, 44.

Kejadian berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Tun Razak di sini, jam 1.30 pagi tadi.

Bagi kesalahan terbabit, Zhang didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM8,000 hingga RM20,000 dan penjara antara tiga tahun hingga 10 tahun serta lesen memandu dibatalkan.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa yang mengendalikan kes, Abdullah Khazali menawarkan jaminan RM10,000 dan memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam bela, Khairul Amin Abdullah, memohon jaminan rendah atas alasan masih muda dan akan membuktikan tidak bersalah ketika perbicaraan pada masa akan datang.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 1 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Sebelum ini media melaporkan pemandu mabuk merempuh seorang penunggang motosikal sehingga maut dalam kejadian ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan dijual isterinya di Lebuhraya Sultan Iskandar di sini.

Difahamkan mangsa mati akibat tercampak, manakala motosikal ditunggangnya diseret sejauh dua kilometer.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.