Harga minyak dunia jatuh semula

94

1 JUN: Harga minyak dunia jatuh hampir 1 peratus hari ini apabila pedagang-pedagang membuat spekulasi berikutan ura-ura OPEC akan mengadakan perjumpaan minggu ini untuk membincangkan sama ada untuk meneruskan langkah mengurangkan pengeluaran selepas bulan ini.

Memetik laporan CNBC, harga minyak Brent jatuh AS$0.34 (RM1.47) kepada AS$37.50 (RM162) setong pada hari pertama dagangan untuk kontrak hadapan Ogos.

Harga dagangan hadapan minyak West Texas Intermediate (WTI) pula jatuh AS$0.32 (RM1.38) kepada AS$35.17 (RM151.93) setong.

Penyusutan harga berlaku selepas Brent dan WTI mencatatkan perolehan tertinggi mereka dalam tempoh beberapa tahun pada bulan lalu.

Peningkatan perolehan tersebut dirangsang oleh penyusutan pengeluaran minyak mentah OPEC pada tahap terendah dalam masa dua dekad dengan permintaan dijangka pulih sebaik sahaja lebih banyak negara melonggarkan sekatan COVID-19.

Ahli ekonomi OCBC, Howie Lee berkata, tumpuan adalah terhadap OPEC+ yang menggabungkan anggota-anggota OPEC dan sekutu-sekutunya termasuk Rusia.

“Sekiranya OPEC+ melanjutkan pengurangan pengeluaran sehingga tiga bulan lagi, terdapat kemungkinan harga minyak boleh mencecah AS$40 (RM172.80) setong,” katanya.

Pada masa ini, prestasi pasaran kewangan dunia dipengaruhi oleh ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Selain itu, rusuhan yang berlaku di bandar-bandar besar di seluruh AS akibat protes kematian lelaki berkulit hitam, George Floyd ketika ditahan polis di Minneapolis, Minnesota turut mempengaruhi sentimen pasaran. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.