Cabaran baharu tangani peningkatan kes kluster warga asing

60

1 JUN: Peningkatan kes harian COVID-19 membabitkan warga asing yang melepasi ramalan awal mencetuskan cabaran baharu dalam usaha memerangi pandemik itu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes berkenaan dapat dilihat dengan ketara sejak 29 April lalu.

Menurut beliau, senario itu berpunca daripada kes import dari luar negara, penularan kes COVID-19 dalam kalangan bukan warganegara di beberapa depoh tahanan imigresen serta pekerja bukan warganegara pelbagai sektor di dalam komuniti.

“Ini bermakna negara kini berdepan dengan satu cabaran baharu yang perlu kita tangani bersama, iaitu peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan bukan warganegara.

“Namun, golongan bukan warganegara tidak harus disisih dan tidak harus distigmakan oleh rakyat Malaysia, malah kita perlu membantu mereka yang secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan penularan COVID-19 di negara ini,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata kerajaan dan masyarakat perlu memainkan peranan lebih efektif dengan mengenal pasti dan mencari cara penyelesaian bagi menangani isu penularan COVID-19 di kalangan warga asing.

“Selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), masalah penginapan pekerja bukan warganegara yang sempit dan sesak perlu ditangani dengan segera bagi memastikan ianya tidak menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.

“Pekerja bukan warganegara (terutama dalam sektor pembinaan dan keselamatan) di semua Zon Merah wajib disaring untuk COVID-19 seperti yang diarahkan kerajaan. Selain itu, pekerja bukan warganegara dari Zon Kuning dan Zon Hijau pula digalakkan disaring dengan inisiatif majikan masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham mengesahkan sebanyak 38 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Malaysia setakat jam 12 tengah hari tadi sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 7,857 kes positif.

Beliau berkata, sebanyak 51 kes pulih daripada COVID-19 dilaporkan hari ini dan ia menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 6,404 kes atau 81.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,338 kes. Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 26 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 12 kes penularan tempatan, enam kes adalah kes bukan warganegara dan hanya enam kes dalam kalangan warganegara Malaysia,” jelasnya.

Dr Noor Hisham menambah, sehingga kini, sebanyak lapan individu yang positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua individu masih memerlukan bantuan pernafasan, manakala kes kematian adalah sifar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.