ARMADA ingatkan Syed Saddiq jangan guna nama parti

143

1 JUN: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mendakwa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, cuba mengelirukan ahlinya dengan memutarbelitkan dan memberikan tafsiran jahat terhadap perlembagaan parti.

Berikutan itu Exco ARMADA, Mohd Muzammil Ismail berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan terbabit kerana cuba menggunakan nama parti dan mencampuri urusan dalaman parti walaupun sudah dilucutkan keahlian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Beliau berkata, Syed Saddiq pada sidang medianya semalam didapati memutarbelitkan perlembagaan, memberi tafsiran berniat jahat dan membelakangkan keputusan parti.

Katanya, amatlah tidak logik, bagi Ahli Parlimen Bersatu tidak menyokong kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Beliau berkata, keputusan keluar dari Pakatan Harapan (PH) adalah keputusan majoriti Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dimuktamadkan dalam mesyuarat pada 23 Februari lalu.

“Keputusan itu turut diakui Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Perutusan Perdana Menteri Interim yang menyebut bahawa Bersatu memutuskan untuk keluar dari PH.

“Saya ingin menegaskan bahawa Bersatu adalah milik semua ahli parti dan bukan milik mana-mana ahli yang berkepentingan.

“Pelaksanaan ‘rule of law’ perlembagaan Bersatu mestilah dipatuhi dan tiada sesiapa yang akan dikecualikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Malah, beliau berkata keputusan berkenaan diakui sendiri oleh Dr Mahathir dalam Perutusan Perdana Menteri Interim dan disusuli kenyataan media oleh Senator Datuk Marzuki Yahya pada 24 Februari lalu bagi memaklumkan keputusan rasmi parti itu perlu diikuti ahli.

“Tindakan Setiausaha Kerja, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya perlu difahami, beliau hanya melaksana tugas sebagai pegawai awam parti untuk menyampaikan notis dan bukan memecat.

“Tindakan beliau tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Bersatu sebagai Ketua Pentadbir Ibu Pejabat Parti melalui sidang media kelmarin,” jelasnya.

Mohd Muzammil menambah, sebelum ini pada 27 Mei, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas memaklumkan bahawa kes tersebut tidak perlu dirujuk untuk tindakan Lembaga Disiplin Parti tetapi menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan parti.

Justeru kata beliau, memang jelas bahawa Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Syed Saddiq bukan lagi ahli Bersatu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.