Anwar boleh jadi PM tanpa Mahathir

445

Surat Terbuka Kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Assalamulaikum w.b.t YB Dato’ Seri,

Terdapat sebuah hadis yang secara jelas menyebut bahawa seorang Mukmin itu tidak boleh jatuh dalam lubang yang sama, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.

Dari 1998 sehingga 2020 bukanlah satu tempoh yang singkat. Dalam tempoh 22 tahun ini, telah berlaku beberapa kali perubahan besar dalam landskap politik negara. Setiap perubahan ini tanpa gagal melibatkan dua watak utama iaitu YB Tun Mahathir Mohamad dan YB Dato’ Seri sendiri.

YB Dato’ Seri,

Ketika ini tiada seorang pun yang tahu apakah pengakhiran dan kesudahan kemelut politik yang sedang berlaku sekarang, seolah-olah tiada kepastian. Namun apa yang sudah pasti adalah sudah dua kali usaha YB Dato’ Seri untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia digagalkan oleh individu yang sama iaitu YB Tun Mahathir Mohamad.

Tahun 1998 dan 2020 ini bukan sekadar angka biasa namun ianya adalah satu manifestasi seorang sosok manusia yang tidak pernah berubah iaitu YB Tun Mahathir Mohamad. Kali pertama YB Dato’ Seri digagalkan pada 1998 masih boleh diterima walaupun telah dipalitkan kes-kes jenayah, tetapi bagaimana pula pada tahun 2020 ini YB Dato’ Seri?

Betapa liciknya YB Tun Mahathir Mohamad sehingga masih mampu menafikan YB Dato’ Seri untuk menjadi Perdana Menteri dalam keadaan YB Tun Mahathir Mohamad sudah berjanji dan dalam keadaan tanpa sebarang pertuduhan dan kes mahkamah baru dilemparkan terhadap YB Dato’ Seri.

YB Dato’ Seri,

Persoalan yang saya ingin lontarkan adalah, sampai bila karier politik YB Dato’ Seri mahu diselubungi oleh bayang-bayang YB Tun Mahathir Mohamad? Adakah pengakhiran kepada puluhan tahun karier politik YB Dato’ Seri layak ditentukan oleh seorang insan bernama ‘Mahathir Bin Mohamad’?

Pada saya, jika YB Dato’ Seri ditakdirkan menjadi Perdana Menteri Malaysia kelak biarlah ianya bukan kerana YB Tun Mahathir Mohamad. Dan jika ditakdirkan juga bahawa YB Dato’ Seri GAGAL SEKALI LAGI untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, tolonglah YB Dato’ Seri, pastikanlah juga ianya bukan angkara YB Tun Mahathir Mohamad SEKALI LAGI. Ini soal maruah YB Dato’ Seri.

Watak YB Dato’ Seri dalam arena politik negara dan antarabangsa cukup besar untuk ditekan dan ditunggang oleh YB Tun Mahathir Mohamad SEKALI LAGI. Dalam keadaan sekarang bilamana YB Dato’ Seri selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden KEADILAN, dalam keadaan bilamana ‘sudah terang lagi bersuluh’ dan menjadi rahsia umum bahawa YB Tun Mahathir Mohamad tidak menyukai dan tidak akan membenarkan YB Dato’ Seri menjadi Perdana Menteri, inilah detik yang sesuai untuk menggagalkan YB Tun Mahathir Mohamad pula.

YB Dato’ Seri,

YB Tun Mahathir Mohamad dan kemnya kini sedang terperosok di penjuru. YB Tun Mahathir Mohamad tidak bersama Perikatan Nasional (PN), dan jika PH pimpinan YB Dato’ Seri juga berkeputusan untuk meninggalkan dan tidak akan bekerjasama lagi dengan YB Tun Mahathir Mohamad, maka YB Tun Mahathir Mohamad dan kemnya adalah pihak yang paling lemah jika dibandingkan dengan PN dan PH.

YB Dato’ Seri pasti tahu, PN bukanlah sebuah gabungan politik berdaftar dan masih lemah. Setakat ini, BERSATU masih dalam dilema dalam berdepan PRU15 tidak lama lagi sama ada ingin bergabung dengan UMNO (pilihan pertama) ataupun pembahagian kerusi antara BERSATU, UMNO dan PAS (pilihan kedua).

Untuk pilihan kedua, hampir pasti UMNO tidak akan bersetuju kerana kerusi UMNO akan terus terhakis kerana perlu berkongsi kerusi bukan sahaja dengan PAS malah dengan BERSATU pula selepas ini. Saya percaya, atas sebab ini UMNO (dan mungkin Muafakat Nasional) tidak akan bersetuju untuk menubuhkan dan mendaftarkan PN secara rasmi sekaligus akan membuat Kerajaan PN pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal lemah menjelang PRU15.

Dipendekkan cerita YB Dato’ Seri, peluang untuk YB Dato’ Seri menjadi Perdana Menteri adalah lebih cerah dengan PH yang bersatu padu membawa nama YB Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri menentang Kerajaan PN pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, berbanding jika YB Dato’ Seri dan PH mengulangi formula ‘PH bersama Tun Mahathir Mohamad.’

Akhir sekali, sifirnya mudah. Tun Mahathir Mohamad tidak menyukai dan tidak akan membenarkan YB Dato’ Seri menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, langkah seterusnya adalah YB Dato’ Seri kini hanya perlu menyingkirkan Tun Mahathir Mohamad dari PH secara total terlebih dahulu bagi memastikan Tun Mahathir Mohamad terus terperosok di penjuru gelanggang tanpa sokongan PN dan juga PH.

YB Dato’ Seri perlu ingat, Kerajaan 22 bulan PH yang gagal menunaikan janji dan semakin dibenci rakyat (kalah 5 PRK) adalah Kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir Mohamad yang mana YB Dato’ Seri tidak pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan PH tersebut secara teknikal. Masa depan PH adalah bersama dengan YB Dato’ Seri, bukan lagi bersama Tun Mahathir Mohamad.

YB Dato’ Seri, jangan dipatuk ular yang sama dua (tiga) kali. Usah jatuh ke dalam lubang yang sama lagi. UMNO yang memecat YB Dato’ Seri pada 1998 dulu pun adalah UMNO pimpinan Tun Mahathir Mohamad, bukan UMNO sekarang. PH yang menggagalkan YB Dato’ Seri menjadi Perdana Menteri ke-8 pun adalah PH pimpinan Tun Mahathir Mohamad!

REFORMIS TULEN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.