Kerajaan ambil tindakan tegas selepas PATI enggan kerjasama

17

31 MEI: Kerajaan telah membuat beberapa kali tawaran kepada pendatang tanpa izin untuk membuat saringan Covid-19 namun tidak mendapat sambutan menyebabkan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan membuat tawaran itu seawal Mac selepas kes positif dikesan dalam kalangan peserta perhimpunan tabligh di Sri Petaling, acara yang turut disertai warga asing.

“Waktu itu saya sendiri yang umumkan ketika sidang media, tapi tidak ada PATI yang keluar, jadi tawaran itu kita kira tamat,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri melaporkan imigresen akan meneruskan misi memburu PATI untuk saringan Covid-19 bagi mengawal jangkitan koronavirus.

“Yang ditangkap akan ditempatkan dan disaring di depoh tahanan. Yang positif akan dihantar ke hospital khas di pusat kuarantin dan rawatan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dan yang negatif akan dihantar pulang. Itu cara kita sekarang,” katanya.

Dalam kes melibatkan peserta perhimpunan di Sri Petaling, kerajaan merayu warga asing tampil menjalani saringan Covid-19 dan memberi jaminan mereka yang tiada dokumen tidak akan datang kerana “keutamaan ketika ini adalah kesihatan”.

“Hanya mahu mengetahui sama ada mereka bersih daripada Covid-19 atau tidak, selepas saringan pun paling ekstrim kita minta kuarantin,” katanya pada sidang media 22 Mac lepas.

Media melaporkan 20 orang Rohingya dan 150 warga Myanmar menyertai perhimpunan di Sri Petaling yang diadakan pada 27 Mac hingga 1 Feb, berdasarkan rekod Pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan akan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara berhubung isu memberi kebenaran operasi kepada persatuan penjaja, pasar malam dan sehari, serta jurufoto.

“Kita sedang bincang,” katanya.

Mengenai kebenaran rentas negeri bagi 3 jenis perjalanan iaitu kecemasan, urusan kerja, dan pasangan terpisah, Ismail menjelaskan ia bukan bersifat automatik.

“Mereka perlu mendapat kebenaran pihak polis terlebih dahulu,” katanya.

Tiada kebenaran merentas negeri diberikan bagi golongan bujang buat masa ini.

“Saya juga bersimpati. Mereka rindukan mak, keluarga. Kita sudah mula bincang mengenai beberapa kelonggaran. Beri kita masa. Kita tidak akan tutup pintu,” katanya.

Sementara itu, operasi mesin juruwang automatik (ATM) akan kembali beroperasi seperti biasa mulai esok sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat.

Waktu operasi ATM sejak 19 April dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam sepanjang tempoh PKP bagi menghalang orang menggunakannya sebagai alasan untuk keluar lewat malam.

“Kalau dulu sebelum PKP, waktu operasi mengikut bank tertentu sampai 11 malam atau lebih, kali ini ia boleh beroperasi seperti biasa,” katanya lagi.

Bagaimanapun, penjarakkan sosial satu meter dan tatacara operasi standard masih perlu dipatuhi semua pihak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.