Cadangan gubal RUU kurangkan kesan Covid-19 dialu-alukan

12

31 MEI: Kerajaan mengalu-alukan cadangan dan pandangan orang ramai dalam penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan, berkata penggubalan RUU itu merupakan komitmen kerajaan untuk meminimumkan impak penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan langsung ekonomi dan sosial ke atas rakyat dan industri.

“Selari dengan keputusan Mesyuarat Penggubalan RUU Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan COVID-19 pada 28 Mei lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) selaku penyelaras langkah penggubalan ini menyediakan pautan bagi sesiapa yang mempunyai saranan atau cadangan untuk RUU tersebut.

“Perlu diingatkan, segala cadangan untuk dimasukkan dalam RUU ini hendaklah berbangkit daripada kesan penularan wabak Covid-19 dan mempunyai impak terhadap perniagaan, firma, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua pemegang taruh, termasuk organisasi masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu dan pihak berkepentingan boleh berbuat demikian menerusi http://www.bheuu.gov.my/index.php/ruu-covid19 bagi tindakan seterusnya sebelum atau pada 5 Jun ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.