Saya tak terburu- buru, selamat maju jaya Tun kata Muhyiddin

748

30 MEI: Tindakan terhadap bekas Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir Mohamad bersama empat ahli parlimen lain dari parti itu bukan suatu tindakan terburu-buru.

Meskipun terdapat banyak desakan supaya tindakan diambil lebih awal terhadap mereka, namun Presiden merangkap Pemangku Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setiap keputusan perlulah berdasarkan perlembagaan parti.

“Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil dengan lebih awal.

“Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berdasarkan perlembagaan parti. Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin dalam masa yang sama turut meluahkan rasa kecewa apabila Tun Mahathir sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman besar tidak sealiran dalam perjuangannya kali ini dan cenderung kepada pembangkang pula.

“Tentunya kita berasa berdukacita dengan pilihan yang dibuat Tun Mahathir untuk tidak berada bersama-sama dengan kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti sepertimana yang diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Tun dan pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan PH walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan Tun, selamat maju jaya saya ucapkan,” ujarnya.

Muhyiddin turut berharap agar semua ahlinya kekal tenang dan kembali mengukuhkan parti setelah menghadapi cabaran yang sukar sehingga hari ini.

“Kita telah menghadapi banyak cabaran dari awal parti ini saya tubuhkan. Kita telah menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan. Yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu tetapi demi agama, bangsa dan negara,” tambahnya lagi. 

Kelmarin, Dr Mahathir bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) terhenti keahlian daripada Bersatu kerana melanggar peraturan parti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.