‘Dia kena pecat, dulu dia pecat orang juga’

106

29 MEI: Pemecatan beberapa Ahli Parlimen BERSATU tidak mendatangkan kesan buruk kepada individu terbabit seperti yang berlaku pada rakyat bawahan, jelas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Berikutan itu tegas Annuar, sudah sampai masanya untuk dia dan pemimpin PN fokus terhadap isu rakyat dan tidak membesarkan perkara remeh berkaitan politik.

“Dia kena pecat pun dulu dia pecat orang juga, yang kena pecat tu semua naik private jet, kalau peniaga kena pecat, mereka nak makan apa? Nak makan pun susah akibat Covid-19 ni,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak pasar tidak berbumbung di Kepong, Jumaat.

Semalam BERSATU mengumumkan lima ahli parlimen parti itu terhenti keahlian serta merta melalui surat bertarikh 28 Mei.

Selain Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, yang lain adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Menerusi surat BERSATU kepada lima ahli parlimen itu, ia merujuk kepada notis mereka sebelum ini yang memaklumkan kedudukan kerusi masing-masing di Parlimen yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden/ Pemangku Pengerusi Bersatu.

Bagaimanapun dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, lima ahli parlimen itu telah menolak tindakan Bersatu yang menggugurkan keahlian mereka kerana didakwa bertenang an dengan undang-undang.

Tambah Annuar, Bersatu perlu menyelesaikan masalah dalaman parti tanpa campur tangan dari pihak luar sekaligus menyatakan yang beliau sendiri pun tidak langsung berminat dengan perkara itu.

“Kita kena fikir sekarang Kerajaan PN, mesti kerajaan bawa hati nurani rakyat. Tak boleh duduk atas. Saya boleh duduk pakai tie hari-hari di Putrajaya.

“Kawan-kawan cakap dalam telefon tentang masalah yang berlaku, bila datang sini, hujan pula,  tak apa, kita tengok keadaan sebenar pada waktu hujan, ini baru betul,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.