PKPB: Trend penularan dalam masyarakat setempat menurun

19

28 MEI: Sebanyak 1,189 kes positif Covid-19 direkodkan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sejak 4 Mei lalu hingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, 270 kes atau 22.7% membabitkan warga tempatan.

Selain itu, beliau berkata, 919 kes atau 77.3% membabitkan warga asing, termasuk 383 di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

“Sejak PKPB bermula, trend penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat didapati semakin berkurangan daripada minggu sebelumnya.

“Ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama dan pematuhan orang ramai kepada nasihat, SOP (prosedur operasi standard) kerajaan, serta aktiviti penguatkuasaan oleh pelbagai agensi.

“Justeru, kita ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak industri serta orang ramai kerana sudi memikul beban bersama kerajaan demi kepentingan komuniti dan negara.

“Jika usaha ini diteruskan oleh semua pihak dengan sikap dan rasa tanggungjawab sosial, kita pasti dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan virus Covid-19 di Malaysia,” katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Sementara itu tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban kekal 115 orang.

Noor Hisham berkata 10 kes jangkitan baru dilaporkan menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti ialah 7,629 orang.

“Ingin dimaklumkan semua 10 kes baru yang dilaporkan adalah penularan tempatan, di mana 5 kes adalah bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Ketika ini, seramai 1,345 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 8 di unit rawatan rapi dengan 4 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham mengumumkan 86 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 6,169 orang sehingga kini atau 80.9% daripada jumlah keseluruhan kes.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.