Tak boleh pergi beraya, kenapa pergi memancing, soal polis

155

27 MEI: Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab polis untuk menyerbu mana-mana premis yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin, pihaknya tidak berkompromi dengan tidak memberi kompaun kepada pihak tertentu termasuklah selebriti mahupun orang kenamaan.

Ia berikutan kejadian yang dilaporkan semalam, apabila 59 pemancing termasuk dua pekerja warga asing dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 kerana melanggar arahan PKPB termasuklah artis yang sedang meningkat Muhammad Aiman Yusri atau lebih dikenali sebagai Aiman Tino.

“Dia kena faham, kita keluarkan kompaun sebab melanggar arahan 20 iaitu memancing pun tak dibenarkan pada ketika ini, menjaga jarak dan sebagainya itu bukan isunya, isu utama adalah tidak ada siapa pun dibenarkan untuk berada di situ.

“Saya tahu pergi beraya tak boleh, tapi pergi memancing buat apa? Ikutlah peraturan,” katanya kepada PNBBC portal pada Rabu.

Kejadian tersebut berlaku di kolam ikan di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu ketika Aiman bersama bapanya, Yusri Ishak dan adiknya Muhammad Haikal yang turut berada di lokasi ketika polis menyerbu masuk kawasan kolam berkenaan.

Aiman mendakwa sepatutnya pengusaha kolam pancing itu dikenakan tindakan undang-undang dengan kompaun yang sesuai dan bukannya 59 pemancing lain yang datang ke situ.

Namun jelas Arshad, setakat ini kompaun telah dikenakan kepada 59 pemancing lain termasuklah pengusaha kolam pancing itu sendiri kerana membenarkan kolam pancing itu beroperasi seperti biasa meskipun dilarang.

“Tugas kita dari pihak polis, kita dah kenakan kompaun sebanyak RM1,000, tapi dia nak buat rayuan dengan pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD) berapa dia kena bayar, itu terpulang lah.

“Tugas kita tetap kita jalankan sebaik mungkin, benda yang memang tak dibenarkan tu memang tak bolehlah, pada waktu ini, sila ikut peraturan,” jelasnya lagi. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.