Kerajaan sokong langkah Sarawak kembangkan cawangan bank bergerak

64

27 MEI: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyokong usaha untuk mengembangkan cawangan bank bergerak di Sarawak.

Jelasnya, langkah itu sekaligus dapat membantu ekonomi Negeri itu dengan perkhidmatan yang bakal disediakan oleh pihak Bank Rakyat, Tekun Nasional dan juga Ar-Rahnu.

Dalam masa yang sama, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) boleh membangunkan usahawan dan koperasi di luar bandar secara inklusif.

“Dalam perbincangan tersebut, secara prinsipnya saya bersetuju agar Bank Rakyat, Tekun Nasional dan Koperasi membantu masyarakat luar bandar di negeri Sarawak dengan menampah banyak lagi kemudahan Bank Rakyat, Tekun Nasional dan Ar Rahnu di luar bandar Sarawak.

“MEDAC secara prinsipnya juga bersetuju untuk menyokong rancangan negeri Sarawak untuk menyampaikan perkhidmatan Bank Rakyat, Tekun Nasional dan Koperasi kawasan di luar bandar seperti di Serian, Kapit, Mukah, Lawas, Ulu Beram dan di beberapa pusat pembangunan yang telah di kenal pasti beberapa kawasan-kawasan luar bandar Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Junaidi mengadakan perbincangan bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak,  Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkenaan pengembangan cawangan, Bank Bergerak dan melantik wakil-wakil Bank Rakyat di kawasan pendalaman seluruh Negeri Sarawak.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu  Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua Perbankan Perniagaan Bank Rakyat Malaysia, Encik Mohamad Shibli Bin Abg Sapuan,  dan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Matang Jaya, Sharbina  Sharbini.

Tambah Wan Junaidi, segala langkah itu menunjukkan kerajaan prihatin dengan nasib usahawan kecil  bagi meneruskan komitmen untuk membantu usahawan dan koperasi terjejas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.