Covid-19 di Malaysia masih jauh untuk berakhir

227

27 MEI: Jumlah kes Covid-19 di Malaysia merangkumi 0.4% daripada 5,559,130 kes dicatatkan di seluruh dunia, sekali gus dilihat semakin serius dan masih jauh untuk berakhir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagaimanapun jumlah kes baharu di negara ini, dilihat berkurangan.

Beliau berkata, jumlah kes kembali ke angka dua digit selepas menunjukkan peningkatan disebabkan pengesanan kes Covid -19 di beberapa Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

“Penurunan kes Covid -19 daripada penularan tempatan ini selaras dengan unjuran sebelum ini oleh pihak kementerian.

“Ia hasil tindakan kesihatan awam yang dilaksanakan sejak sebulan lalu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Selain itu, penurunan jumlah kes itu turut dibantu dengan pematuhan orang ramai terhadap norma dan kelaziman baharu serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk pelbagai sektor dan industri,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.

Sementara itu jumlah kes baharu Covid -19 hari ini kembali dua angka iaitu 15 kes berbanding dua hari sebelumnya, manakala kes sudah pulih sepenuhnya turut meningkat sebanyak 42 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes pulih itu ia menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 6,083 kes atau 79.8% daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, bagi jumlah kes baharu pula ia menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 7,619 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,421 kes.

“Sehingga kini, seramai lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut empat individu masih memerlukan bantuan pernafasan.

“Sehingga jam 12 tengah hari, dimaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dan jumlahnya kekal sebanyak 115 kes atau 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.