Penjelasan laporan cadangan projek pembangunan LGM di Jerantut

96

1. Saya mengambil perhatian kepada beberapa laporan di media tempatan pada 25 Mei 2020 yang memetik kenyataan mantan menteri yang mengatakan tentang kelulusan untuk mengunakan dana awam sebanyak RM100 juta bagi membina projek raksasa iaitu Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur di kawasan parlimen saya.

2. Saya ingin menjelaskan bahawa status projek yang dinyatakan oleh laporan media sebelum ini adalah hasil cetusan idea Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang masih dalam peringkat perancangan dan belum dipertimbangkan atau diluluskan oleh pihak Lembaga Pengarah LGM, Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (MPIC) serta kerajaan.

3. Projek ini akan diangkat untuk kelulusan setelah kajian fisibiliti secara menyeluruh berkenaan projek ini dilakukan serta impak terhadap fasiliti- fasiliti penyelidikan lain dibawah LGM sebelum dibentangkan ke pihak Lembaga Pengarah LGM. Hanya selepas mendapat kelulusan Lembaga baru projek ini akan dibawa untuk kelulusan MPIC dan kerajaan.

4. Usaha penyelidikan di peringkat LGM tidak pernah terputus dan LGM sentiasa mengutamakan sektor-sektor penting iaitu huluan (perladangan getah), pertengahan (pemprosesan getah) dan hiliran (pembuatan produk getah). Keperluan penyelidikan dan pembangunan yang berterusan dan komprehensif di pusat penyelidikan LGM bagi teknologi- teknologi utama seperti pembangunan klon-klon terkini sangat penting bagi menjamin produktiviti di peringkat huluan supaya pembekalan bahan mentah yang diperolehi di peringkat pertengahan dan hiliran dalam kualiti yang terbaik. Ia juga secara tidak langsung dapat menambahkan pengeluaran getah negara melalui pengurusan model komersil oleh perbadanan LGM disamping membantu usaha penyelidikan klon dan teknologi untuk industri getah negara.

5. LGM melalui perancangan strategik dan keperluan penyelidikan memerlukan kawasan untuk dijadikan pusat penyelidikan teknologi industri getah. Objektif utama pembangunan pusat penyelidikan teknologi di kawasan-kawasan berlainan di serata Malaysia termasuk di Pantai Timur adalah bertujuan untuk memastikan masa hadapan industri getah negara lebih maju, dengan pendapatan di peringkat huluan dan hiliran sama-sama ditingkatkan bagi kemampanan industri getah Malaysia

6. Dimaklumkan bahawa proses kelulusan pembangunan tanah berfungsi sebagai pusat penyelidikan perlu melalui prosidur lengkap yang telah ditetapkan di mana setelah kertas kajian fisibiliti komprehensif dan kertas cadangan dibentangkan oleh pengurusan LGM dan diperakui oleh Lembaga LGM, ia seterusnya perlu mendapat kelulusan YB Menteri dan Kabinet sebelum ia boleh dilaksanakan.

Datuk Ahmad Nazlan Idris

Ahli Parlimen Jerantut

Pengerusi Lembaga Getah Malaysia

26 Mei 2020

Get real time updates directly on you device, subscribe now.