Hukuman pemandu mabuk diputuskan pertengahan Jun ini

112

26 MEI: Kerajaan komited dalam membela mangsa korban kemalangan maut serta keadilan untuk keluarga mangsa.

Menegaskan perkara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pindaan Akta mengenai hukuman terhadap pemandu mabuk akan dimuktamadkan pertengahan Jun ini.

Jelasnya lagi setiap keputusan tersebut mengambil kira pandangan semua pihak melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya sangat sedih dengan berita mengenai kemalangan khususnya melibatkan pemandu mabuk, malah sepanjang bulan Mei ini saja, beberapa kemalangan berturut-turut dilaporkan adalah berkaitan pemandu mabuk.

“Justeru itu, pada 1 Jun 2020, saya akan memanggil satu sesi taklimat di MOT bersama JPJ untuk segera meneliti dan menyemak cadangan pindaan Akta berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian awal pagi tadi, seorang lelaki maut dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan untuk bertugas syif malam di Jalan Pintasan Kuantan.

Kejadian berlaku di Kuantan apabila pemandu kereta jenis Toyota C-HR yang datang dari arah Semambu memasuki jalan menghala ke pelabuhan secara melawan arus.

Kemalangan sebelum ini juga menyebabkan seorang anggota polis maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, dipandu oleh individu mabuk.

Susulan itu, Ka Siong berkata hukuman tersebut terlalu ringan dan ia perlu dipinda kerana hukuman maksimum yang dikenakan pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian adalah denda RM10,000 atau penjara 12 bulan.

Malah Ka Siong telah meminta pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meneliti semula Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berhubung perkara ini.

Akta ini akan diteliti semula supaya mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain ini dapat dikenakan hukuman yang lebih berat sekaligus memberi kesedaran dan pengajaran kepada semua pihak.

Pada masa yang sama, Seksyen 45 dan 45A yang berkaitan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan masing-masing juga akan diteliti semula.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.