Covid-19: Tiga kluster tapak pembinaan dikesan

139

26 MEI: Kementerian Kesihatan sudah mengesan tiga kluster membabitkan tapak pembinaan yang kini sudah menjangkiti 88 individu yang kebanyakannya warga asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata antara kluster yang dikesan ialah kluster pembinaan Kuala Lumpur iaitu 31 kes sudah dikesan positif Covid-19.

Katanya, bagi kluster kedua pula adalah kluster tapak pembinaan Setia Alam dan sebanyak 13 kes positif membabitkan warga Bangladesh dikesan.

“Bagi kluster ketiga pula ia membabitkan kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2, kluster ini dikesan sudah menjangkiti 44 individu yang merangkumi 34 warga Bangladesh, sembilan warga Indonesia dan satu warga tempatan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.

Tambahnya tinggal di kawasan sempit dan tidak menjaga kebersihan diri dan persekitaran menjadi punca utama penularan kes Covid-19 dalam kalangan pekerja asing terutamanya kluster tapak pembinaan.

Menurut Noor Hisham sehubungan itu majikan perlu bertanggungjawab untuk memberikan kefahaman dan kesedaran kepada pekerja di bawah jagaan mereka mengenai aspek kebersihan dan langkah pencegahan.

Katanya, majikan juga harus memastikan amalan berkenaan bukan sahaja diamalkan di tempat kerja tetapi ia perlulah diamalkan di tempat penginapan pekerja.

“Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dianggap sia-sia sekiranya ia tidak diamalkan di tempat penginapan.

“Majikan perlulah memastikan langkah berkenaan diambil di kedua-dua tempat,” katanya lagi.

Dan sehingga hari ini, tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban kekal 115 orang.

Dalam perkembangan sama, 187 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 7,604 orang sehingga kini.

Malah ketika ini seramai 1,448 pesakit sedang dirawat daripada jumlah tersebut, 8 di unit rawatan rapi dengan 5 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Noor Hisham juga memaklumkan 62 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 6,041 orang sehingga kini.

“Ingin dimaklumkan daripada 187 kes baru yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, iaitu 7 warganegara Malaysia dan 3 pemastautin tetap atau pasangan kepada warganegara.

“Daripada 177 kes penularan tempatan, 173 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 155 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil dan 13 kes daripada kluster pengawal keselamatan Cheras.

“Kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah 4 kes sahaja,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.