Tiada majlis kahwin di kuil Seri Kembangan

72

25 MEI: Siasatan polis mendapati dakwaan mengatakan majlis perkahwinan diadakan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Selangor hari ini seperti laporan sebuah portal berita semalam, tidak benar.

Ketua Polis Serdang, Ismadi Borhan berkata berdasarkan soal siasat terhadap penjaga kuil, tiada sebarang aktiviti atau majlis diadakan di kuil itu dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Beliau turut menyatakan majlis dalam rakaman video yang tular itu tidak berlangsung pada hari ini.

“Tinjauan dan siasatan anggota polis daripada Balai Polis Seri Kembangan juga mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di kuil tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk rakaman video berdurasi 1 minit memaparkan beberapa individu berkumpul dan mengadakan majlis perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan.

Ismadi berkata siasatan lanjut masih diteruskan dan polis sentiasa memantau aktiviti di rumah ibadat bagi mencegah penularan Covid-19.

Sepanjang PKP dan PKPB, pihak berkuasa melarang sebarang majlis keraian yang membabitkan perhimpunan ramai termasuk majlis perkahwinan malah ketika sambutan Aidil Fitri, hanya kumpulan sehingga 20 orang sahaja dibenarkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.