Tian Chua bakal tubuh NGO Pro PN?

316

22 MEI: Naib presiden PKR Tian Chua bakal menubuhkan NGO baru yang dipercayai pro PN.

Beliau dalam satu kenyataan berkata NGO tersebut bertujuan untuk mengatasi masalah perpaduan sosial serta ekonomi yang semakin merudum akibat Covid-19.

“Kami tidak mampu duduk secara pasif dan mengharapkan peningkatan akan berlaku dengan lancar dan automatik. Selain bergantung dan meminta tindakan pemerintah yang diperlukan, kita juga harus melangkah ke hadapan.

“Sebagai warga negara yang prihatin dan mampu, sekarang adalah masanya untuk menunjukkan komitmen bagi memmperkukuh perpaduan bangsa dan membela rakyat yang menderita. Ini juga masanya untuk mengatur tenaga masyarakat dengan semangat kesukarelaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook.

Tian Chua

Menurut Tian Chua, gerakan ini menerima semua keahlian tanpa mengira perbezaan jantina, etnik agama dan kepartian.

Penubuhan NGO ini difahamkan setelah Tian Chua diasak teruk dalam PKR sekaligus Naib Presiden itu lebih banyak berdiam diri dalam setiap keputusan yang dibuat parti pembangkang itu.

Malah, gerakan Tian Chua ini juga dikatakan akan disokong beberapa pemimpin parti lain yang merupakan serpihan daripada PKR itu sendiri.

Mengukuhkan fakta tersebut, baru-baru ini Ketua Srikandi PKR, Nurainie Haziqah Shafii yang keluar dari parti itu menyatakan yang dia akan kembali aktif dalam bidang guaman termasuk badan bukan kerajaan.

“Saya berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara melalui platform saya yang sedia ada serta memberi sepenuh komitmen terhadap usaha membantu golongan yang memerlukan melalui kapasiti saya sebagai seorang peguam dan aktif dalam beberapa NGO yang saya sertai.

“Prinsip ini telah saya junjung sejak saya menjadi seorang aktivis bermula di universiti dan kemudian menubuhkan pelbagai platform NGO yang aktif sehingga kini,” katanya sebelum ini.

Minggu lalu, Nurainie dilantik sebagai ketua Wanita Pemuda Negara, organisasi yang dipercayai ditubuhkan untuk menyokong bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, yang juga Menteri Kanan dalam kerajaan PN yang beliau bantu tubuhkan Februari lalu.

Nurainie ialah ahli politik PKR terbaru yang meninggalkan parti itu susulan perpecahan antara Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.

Ini bermakna NGO yang bakal ditubuhkan Tian Chua ini mungkin mendapat sokongan daripada bekas pemimpin kanan PKR seperti Azmin dan Zuraida Kamaruddin, yang kini merupakan sebahagian daripada PN.  

Ia termasuklah kem Azmin yang lain termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli, ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha, dan ADUN Sementa, Daroyah Alwi. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.