Ambil langkah waspada walau ziarah Aidilfitri dibenarkan

14

22 MEI: Orang ramai dinasihat agar mengambil langkah berwaspada dalam sebarang urusan yang ingin dilakukan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini, walaupun ada perkara yang telah mendapat kebenaran pihak berwajib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dalam situasi negara yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 ini, lebih wajar jika orang ramai berhati-hati (elak) agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Contohnya, soal ziarah kubur pada hari raya. Perkara itu (ziarah kubur) tidak menjadi masalah jika orang ramai patuh SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan, dari segi penjarakan dengan bilangan yang tidak ramai. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri juga ada jelaskan, ianya boleh, cuma tidak digalakkan.

“Namun ia terpulang kepada arahan dikeluarkan oleh negeri masing-masing kerana jika arahan ziarah kubur itu tidak dibenarkan (di sesetengah negeri) ia dibuat dengan matlamat untuk menghindari jangkitan wabak Covid-19,” katanya memetik laporan media.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan mengenai kewajaran aktiviti ziarah hari raya serta melawat kubur ketika negara berdepan Covid-19.

Mengulas lanjut Dr Zulkifli berkata, jika terdapat perkara yang di antara keduanya iaitu ‘larangan dan kebenaran’ masyarakat diseru untuk memilih bersikap waspada sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sama juga dengan aktiviti berziarah mengunjungi saudara terdekat pada hari raya, walaupun ada SOP dengan jumlah ditetapkan, namun bagi mengelakkan isu-isu (lain) timbul lebih baik duduk di rumah sahaja,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.