Ukraine bakal isytihar Aidilfitri, Aidiladha sebagai cuti umum

26

21 MEI: Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri bakal diiktiraf sebagai cuti umum bagi negara Ukraine, kata Presiden negara tersebut, Volodymyr Zelensky.

Pengumuman itu dilakukan pada Isnin lalu sempena Hari Memperingati Mangsa Pembunuhan Beramai-ramai kaum Tatar Crimea.

Dalam mesyuarat yang diadakan bersama wakil-wakil kaum Tatar berketuruna Crimea, Zelensky berkata, beliau mahu mewujudkan sebuah negara yang mana semua orang merasakan bahawa mereka adalah sebahagian warga Ukraine.

“Saya mahu semua orang rasa seperti warganegara sepenuhnya, tidak melupakan sejarah dan tradisi mereka. Kami mahu menyokong anda bukan sahaja dengan perkataan, tetapi juga pada tahap perundangan.” katanya seperti di petik Kyiv Post.

Zelensky juga memulakan kumpulan kerja dalam Pejabat Presiden bagi mengajukan masalah yang dihadapi kaum Tatar Crimea.

Menurut beliau, kumpulan kerja tersebut akan memberi perhatian kepada isu perundangan dan ekonomi yang melibatkan wakil Tatar Crimea.

Pemimpin kaum Tatar Crimea, Mustafa Dzhemilev yang berterima kasih kepada Presiden itu berkata: “Kami berharap topik Crimea, topik pemulangannya kepada Ukraine dan mengekalkan integriti wilayah Ukraine tidak akan lenyap daripada agenda kepimpinan negara kami.”

Rusia mengambil alih Semenanjung Crimea daripada Ukraine selepas referendum kemerdekaan pada 2014, berikutan penyingkiran Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych susulan bantahan yang dilakukan pro-Kesatuan Eropah, Euromaidan.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemudian melakukan veto untuk mengisytiharkan tindakan haram Rusia, disamping mendapat majoriti besar anggota PBB, manakala Turki tidak mengiktiraf wilayah Crimea sebagai wilayah Rusia.

Sejak perluasan kawasan itu, kaum Tatar Crimea menyatakan ia adalah tindakan tidak wajar dan menyalahi hak asasi manusia. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.