Kluster baharu depot tahanan Imigresen di Bukit Jalil

124

21 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baharu dikesan di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil di Kuala Lumpur, membabitkan 35 kes positif Covid-19, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes positif itu membabitkan bukan warganegara Malaysia iaitu 17 warga Myanmar, 15 (India), dan masing-masing seorang warga Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir

.”Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 645 orang diambil sampel secara keseluruhan yang mana 35 kes positif COVID-19, 400 kes negatif dan 210 masih menunggu keputusan.

“Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa kekal 114 orang.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata 50 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 7,059 orang sehingga kini.

“Daripada 50 kes baru yang dilaporkan, 3 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 47 kes penularan tempatan, 41 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 35 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil.

“Mereka ini berada di dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata ketika ini, seramai 1,149 pesakit sedang dirawat.

Daripada jumlah tersebut, 10 di unit rawatan rapi dengan 7 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, 90 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 5,796 orang sehingga kini

Get real time updates directly on you device, subscribe now.