Ibadah Haji: Malaysia tunggu kebenaran Arab Saudi

8

21 MEI: Keputusan membenarkan jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam kelima pada musim ini bergantung kebenaran kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, berkata setakat hari ini, Kerajaan Arab Saudi belum membuat sebarang pengumuman sama ada umat Islam dibenarkan untuk menunaikan haji atau sebaliknya.

Menurutnya, sekiranya mendapat kebenaran dari kerajaan Arab Saudi, perkara itu akan dibincangkan dengan semua pihak bagi mencari pendekatan terbaik.

“Bagaimanapun keputusan kebenaran itu bergantung kepada pengumuman Kerajaan Arab Saudi,” katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Peruntukan Sumbangan ProgramYayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Musa’adah Covid-19 daripada CIMB Islamic Bank, di sini hari ini.

Awal April lalu, Arab Saudi meminta umat Islam seluruh dunia bersabar dan menangguhkan rancangan menunaikan haji dan umrah di sebalik ketidaktentuan pandemik koronavirus atau Covid-19.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammad Saleh bin Taher Benten berkata, negara itu bersedia menerima jemaah umrah dan haji pada bila-bila masa, bagaimanapun keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan setiap individu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.