Adakah Tun M terlibat dalam bebaskan Guan Eng soal Azalina

265

21 MEI : Bekas menteri undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said membidas ahli Parlimen Selayang, William Leong yang mempertikaikan apakah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluluskan supaya dakwaaan pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB terhadap Riza Aziz digugurkan.

Azalina berkata soalan seperti itu juga boleh ditujukan kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dibebaskan daripada pertuduhan rasuah terhadapnya.

“YB Leong, saya khuatir kenyataan/soalan yang ditujukan kepada YAB PM itu bak kata “menjolok sarang tebuan”.

“Izinkan saya merujuk kepada keputusan mantan pendakwa raya untuk ‘nolle prosequi’ terhadap YB Bagan pada 2 Ogos 2018.

“Adakah PM7 terlibat dalam keputusan itu? Pasti tidak kan? Atau mungkin anggapan saya salah?” katanya menerusi laman sosial Twitter.

Azalina berkata demikian mengulas artikel Leong yang diterbitkan oleh Focus Malaysia pada Ahad lalu.

Ahli Parlimen PKR itu bertanya adakah Muhyiddin meluluskan perjanjian tawar-menawar dengan Riza itu.

Bagaimanapun, Muhyiddin melalui kenyataan Pejabat Perdana Menteri sebelum ini menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu.

“Saya yakin saya tidak perlu mengingatkan YB mengenai prinsip pemisahan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan badan perundangan, kan?” soalnya.

Azalina turut berkata demikian apabila pada 14 Mei lalu, mahkamah berkata persetujuan telah dicapai antara pihak Riza dan pendakwaan dalam lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam persetujuan itu, Riza dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan itu dengan syarat memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Jika Riza gagal untuk mematuhi perjanjian tersebut, maka pendakwaan berhak untuk mengenakan semula pertuduhan tersebut dan mendakwanya di mahkamah.

Pada Sept 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas ketua menteri Lim Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balasan daripada peguam.

Guan Eng yang ketika itu merupakan menteri kewangan didakwa bersama ahli perniagaan Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang George Town, menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan berkenaan ekoran urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, di katakan di bawah harga pasaran semasa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.