Tindakan lelaki kasari penghantar makanan zalim

82

 20 MEI: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin menyifatkan tindakan seorang lelaki mengasari dengan menendang seorang penghantar makanan wanita dalam kejadian di Bandar Puteri, Puchong, semalam sebagai zalim.

Zuraida berkata, kejadian membabitkan tindakan keras dilakukan lelaki tersebut adalah zalim dan mesti dihentikan serta merta.”Tindakan jenayah ini perlu dihukum setimpalnya,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Zuraida berkata, wanita terbabit hanya cuba mencari rezeki dalam keadaan wabak Covid-19 melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

“Tindakan lelaki seperti yang dirakam dalam rakaman video berkenaan adalah suatu tindakan yang tidak wajar.

“Ketika Covid-19 melanda negara dan PKPB dilaksanakan, tuntutan mencari rezeki bagi menyara keluarga bukan lagi perkara mudah,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa wanita berkenaan juga adalah petugas barisan hadapan yang selayaknya dihormati setiap masyarakat dan keringatnya perlu dihargai dalam usaha negara memerangi pandemik Covid-19.

“Pengorbanan mereka sungguh tidak terkira, sanggup bekerja meredah hujan lebat dan terik matahari semata-mata untuk memudahkan urusan orang ramai mendapatkan makanan, sekali gus membantu kempen dilaksanakan kerajaan Persekutuan iaitu #StayAtHome.

“Saya meminta seluruh rakyat Malaysia, tidak kira walau di mana anda berada, tetaplah patuh kepada undang-undang negara dan terus menaruh sepenuh keyakinan kepada pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelesaikan isu ini dengan tertib dan aman.

“Pada masa sama, marilah kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, terus saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.