Daripada hero, Dr Mahathir akhirnya menzalimi diri sendiri?

393

20 MEI: Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi peguam Haniff Khatri Abdulla hari ini mempertikai surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang mengesahkan anak guamnya bukan lagi pengerusi PPBM atau Bersatu.

Haniff mendakwa, Dr Mahathir kekal sebagai pengerusi Bersatu selepas memenangi pemilihan parti tanpa bertanding pada 1 April lalu seperti diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) parti itu.

Katanya, ini menamatkan isu peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi pada 24 Feb lalu.

Beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh meneruskan peranannya sebagai pemangku pengerusi Bersatu kerana beliau tidak bertanding untuk jawatan itu.

Dalam sepucuk surat kepada Ros, Haniff  berkata surat jabatan itu yang bertarikh 5 Mei tidak mendapatkan penjelasan daripada bekas perdana menteri itu sebagai satu daripada pihak dalam pertikaian tersebut.

Sebenarnya, mungkin di pihak Dr Mahathir lupa kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, bahawa tindakan bekas perdana menteri itu dan beberapa pemimpin Bersatu enggan akur keputusan parti keluar daripada PH menyebabkan keahlian mereka terhenti serta merta.

Ini selaras dengan Fasal 10(2)(3) Perlembagaan Bersatu kerana mereka menyebelahi jelas menyeberang menyebelahi parti pembangkang.

Perkara 10 (2) (3) berbunyi “Keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta apabila ahli itu menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini”.

Memang menang, Dr Mahathir menang tanpa bertanding jawatan Pengerusi Bersatu tetapi jawatan itu hanya sah atau diperakukan selepas pemilihan 2020 parti selesai.

Bagaimanapun, itu bergantung kepada keahlian Dr Mahathir di dalam Bersatu.

Jika diambil kira Perkara 10 (2)(3) Perlembagaan Bersatu, bekas Pengerusi itu boleh dianggap bukan ahli parti lagi apabila beliau bersama-sama PH menentang Bersatu pimpinan Muhyiddin yang kini bersama-sama Perikatan Nasional.

Ini bermakna bukan sahaja Dr Mahathir malah anaknya Datuk Seri Mukhriz serta tiga ahli parlimen lain iaitu Dr Maszlee Malik, Syed Saddiq Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah juga tergugur keahliannya.

Tanpa keahlian, mustahil Dr Mahathir boleh menjawat jawatan Pengerusi Bersatu bagi penggal akan datang.

Namun, setakat ini Bersatu di bawah Muhyiddin belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut sama ada memecat kesemua mereka atau digantung keahlian.

Setidak-tidaknya untuk mengingati Dr Mahathir jika dahulu apabila beliau keluar daripada UMNO pada 2006 dan 2015, beliau dianggap ‘hero’, keadaan kini sudah berubah.

Selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dengan harapan dilantik semula dengan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen, dan kemudian meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, dan menuntut semula jawatan tersebut, Dr Mahathir hanya menunjukkan bahawa beliau ‘menzalimi’ diri sendiri.

Tidak mustahil juga dalam masa terdekat, Dr Mahathir yang terkeluar daripada menjadi ahli Bersatu akan menubuhkan parti baharu, Parti Berdua – beliau dengan Mukhriz sahaja.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.