Terengganu, Johor larang ziarah kubur

39

19 MEI: Umat Islam di Terengganu tidak digalakkan untuk menziarahi tanah perkuburan pada sambutan Aidilfitri minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata hal itu diputuskan bagi mengelak berlakunya perhimpunan.

Jelasnya, walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum membuat keputusan melarang lawatan atau menziarahi tanah perkuburan, tetapi kerajaan negeri mengambil pendekatan itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan melarang sebarang bentuk pertemuan atau perhimpunan diadakan di semua lokasi terutama di kawasan tanah perkuburan bagi mengelakkan berlaku pelanggaran peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti ditetapkan kerajaan.

“Jika berlaku perhimpunan terutama ketika menziarahi tanah perkuburan pada musim perayaan, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB mungkin tidak dapat dielakkan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Payong meminta semua umat Islam supaya menangguhkan menziarahi tanah perkuburan sehingga tamat PKPB atau apabila situasi negara kembali pulih daripada Covid-19.

“Dalam situasi sekarang, kita mohon kepada orang ramai supaya tidak memilih Hari Raya Aidilfitri untuk mengunjungi tanah perkuburan secara beramai-ramai, tambahan pula keadaan sekarang masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti negeri, Ahadi Othman menjelaskan berdasarkan hukum syarak, amalan ziarah kubur adalah sunat dan boleh dilakukan tanpa terikat pada Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.

Jelasnya, ziarah tanah perkuburan tiada kaitan dan tidak khusus pada hari raya sahaja.

Sementara itu, di Johor umat Islam juga dilarang melakukan aktiviti ziarah ke tanah perkuburan Aidilfitri ini, bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata umat Islam di negeri ini diminta patuh pada larangan berkenaan bagi memastikan rantaian wabak berkenaan dapat diputuskan.

“Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) memutuskan tidak membenarkan aktiviti menziarahi pusara pada Aidilfitri kali ini.

“Ia selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)yang masih berkuat kuasa sekali gus menjaga kemaslahatan umat Islam di negeri ini.

“Adalah digalakkan mengadakan tahlil ringkas di rumah masing-masing bagi memperingati ahli keluarga yang meninggalkan kita,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti kunjung-mengunjung dan menziarahi kubur pada Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, KKM tidak akan mengeluarkan dasar atau prosedur operasi standard (SOP) tambahan menjelang Aidilfitri ini.

“Tetapi, kali ini di luar kelaziman dan kita kena lihat cara bagaimana kita merayakan Aidilfitri kali ini dengan cara tiada kunjung-mengunjung atau menziarahi kubur,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.