BERSATU Selangor sokong Muhyiddin pemangku Pengerusi

67

19 MEI: BERSATU Selangor hari ini menyuarakan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi  parti selaras dengan perlembagaan parti susulan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau meletakkan jawatannya.

Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, susulan tindakan Mahathir itu, peruntukan Artikel 16(9) perlembagaan parti itu terpakai.

Artikel itu antara lain menyatakan jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, presiden parti perlu memangku jawatan itu sehingga pemilihan untuk pengerusi baru diadakan.

“Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Bersatu maka Bersatu Selangor secara sebulat suara menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan pemangku pengerusi Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rashid berkata, BERSATU Selangor juga menyanjung tinggi dan menghormati serta mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr Mahathir.

Sebelum ini, susulan langkah Muhyiddin mengumumkan keluarnya BERSATU daripada PH, Mahathir pada 24 Februari lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi.

Bagaimanapun pada 27 Februari, setiausaha agung parti Datuk Marzuki Yahya berkata Mahathir telah menerima semula jawatan itu.

Dua hari kemudian, Muhyiddin yang juga Presiden parti mengumumkan beliau memangku jawatan itu, yang bercanggah dengan kenyataan Marzuki.

Muhyiddin kemudian mengumuman Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilantik menggantikan Marzuki yang dipecat daripada parti pada 18 Mac.

Mahathir bagaimanapun berkata tindakan itu tidak mengikut peraturan parti, maka ia terbatal dan tidak sah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.