927 kes Covid-19 dalam siasatan ada kaitan himpunan tabligh

13

19 MEI: Sebanyak 927 kes yang sebelum ini dikelaskan masih dalam siasatan (PUI), disahkan ada hubung kait dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia sekali gus menjadikan jumlah kes Covid-19 membabitkan kluster itu meningkat kepada 3,347 kes berbanding 2,375 sebelum ini.

“Ini bermakna kluster dan subkluster Seri Petaling menyumbang 48% daripada jumlah kes Covid-19 di Malaysia.

“Kluster ini membabitkan lima generasi dan sekarang, kita melihat kematian dalam kluster tabligh ada 33 kes atau bersamaan 0.99%,” katanya pada sidang media harian, hari ini.

Beliau berkata, pengesahan itu diperoleh hasil siasatan lanjut dibuat pejabat kesihatan daerah serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Sementara itu, satu korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban 114 orang.

Dalam perkembangan sama, 37 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 6,978 orang sehingga kini.

Daripada kes baru itu, 2 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“35 kes penularan tempatan di mana 22 kes bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Ketika ini, seramai 1,218 pesakit sedang dirawat.
Daripada jumlah tersebut, 11 di unit rawatan rapi dan 6 memerlukan bantuan pernafasan

Sementara itu, Hisham mengumumkan 31 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 5,646 orang sehingga kini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.