PN ditubuh selamatkan Malaysia dari perebutan kuasa PH

173

18 MEI: Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata tidak timbul soal pintu belakang atau menebuk mana-mana ruang seperti didakwa PH terhadap kerajaan baru, PN.

Menurutnya, kerajaan baru hari ini terbentuk setelah runtuhnya kerajaan terdahulu akibat pemberontakan kuasa dalam kalangan PH sendiri.

“Ia menyamai sejarah di Jepun yang mana Parti Liberal Demokratik (LDP) yang kalah pada tahun 2009 selepas 50 tahun memerintah di Jepun, namun, bangkit menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas 3 tahun negara matahari terbit di perintah Parti Demokratik Jepun (DPJ) tidak disenangi rakyatnya.

“Kerajaan baru di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan sebuah kerajaan yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat mandat dan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat melalui undian yang dilakukan di hadapan baginda tuanku.

“Bagi saya, tidak timbul soal pintu belakang atau menebuk mana-mana ruang pun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kecaman yang dibuat PH apabila mendakwa penubuhan PN adalah melalui pintu belakang dan kononnya perkara itu tidak dibenarkan berlaku dalam negara ini.

Namun jelas Jazlan lagi, kerajaan ini juga terbentuk bagi menyelamatkan Malaysia daripada krisis politik pada ketika itu.

Malah, pembentukan itu juga merupakan hasil kesepakatan parti-parti politik yang melihat negara, bangsa dan masyarakat majmuk perlu diselamatkan.

“Kita harus mengorak langkah serta menyusun strategi bagi kelangsungan negara terutama dalam menghadapi cabaran selepas wabak ini berakhir kelak.

“Saya menyeru agar semua pihak membuat gencatan politik bagi segala propaganda politik dan kita harus bekerjasama bagi memastikan negara yang dicintai ini terus aman, makmur dan harmoni di bawah pentadbiran Perdana Menteri dan tahniah saya ucapkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 8,” katanya lagi.

Tambah Jazlan untuk memegang suatu jawatan besar iaitu Perdana Menteri pada ketika ini bukanlah perkara yang mudah, ditambah pula terpaksa berhadapan dengan kecaman yang teruk sekaligus memerlukan seseorang pemimpin yang berjiwa cekal pada waktu ini.  

“Menjadi Perdana Menteri di saat negara, ekonomi berada di dalam keadaan baik mungkin agak mudah, tetapi menjadi Perdana Menteri di saat ini amat sukar serta memerlukan daya tahan dan daya juang yang tinggi, demi melihat bangsa dan negara yang kita cintai ini, terbela dan terselamat,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.