Ketua Srikandi PKR umum keluar parti

46

17 MEI: Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurainie Haziqah Shafii mengumumkan keluar parti dan meletakkan jawatan yang dipegangnya, hari ini.

Nurainie dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diambil selepas tidak lagi yakin dan percaya kepada idealisme perjuangan serta hala tuju PKR ketika ini.

“Saya telah mengambil keputusan meletak jawatan dan keluar daripada menjadi anggota PKR.

“Keputusan ini diambil kerana saya tidak lagi ada keyakinan dan kepercayaan kepada idealisme perjuangan serta hala tuju parti pada hari ini,” katanya.

Nurainie juga memaklumkan bahawa beliau turut meletakkan jawatannya selaku Exco Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat dan anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Keputusan ini diambil atas prinsip bahawa jawatan ini adalah atas kapasiti saya selaku anggota PKR,” katanya.

Sehubungan itu, Nurainie merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutama anggota PKR yang memberi mandat kepadanya sebagai Exco Majlis Pimpinan Wanita Pusat pada pemilihan PKR lalu.

“Juga kepada Menteri Besar Selangor dan Datuk Bandar MBPJ kerana memberikan kepercayaan serta kerjasama sepanjang saya menjadi anggota PKR dan Ahli Majlis MBPJ.

“Saya berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara melalui platform saya yang sedia ada serta memberi sepenuh komitmen terhadap usaha membantu golongan yang memerlukan melalui kapasiti saya sebagai seorang peguam,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.