Sekolah, pusat hiburan tak dibenar operasi sepanjang PKPB

46

17 MEI: Semua sekolah termasuk sekolah swasta dan pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menegaskan perkara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia termasuk dalam senarai terlarang dibuka mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Larangan bagi sekolah adalah sekolah kerajaan, menengah kerajaan termasuk sekolah swasta rendah, menengah dan sekolah antarabangsa.

“Jika ada laporan sekolah terbabit dibuka ketika PKPB, Kementerian Pendidikan akan siasat dan jika didapati dibuka, akan diarah ditutup.

“Begitu juga kelab malam, pub atau bar, semua di bawah kategori pusat hiburan yang termasuk dalam senarai terlarang. Kalau ada yang dibuka, kita akan maklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menutupnya.

“Kita tidak akan berkompromi kerana semua termasuk dalam senarai dilarang beroperasi atau dibuka,” katanya pada sidang media harian PKPB di Putrajaya, Ahad.

Dalam masa yang sama, Ismail turut berkata prosedur operasi standard (SOP) tidak akan dilonggarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama ketika sambutan hari perayaan.

Ia bertujuan mengelak COVID-19 merebak pula kepada keluarga yang berada di kampung.

“Kalau banyak lagi nak dilonggarkan kita bimbang akan hadapi masalah. Tujuan kita untuk elak Covid-19 kepada ahli keluarga kita di kampung.

“Sekarang dah cantik bawah 100 (kes jangkitan), harap ia akan kekal begitu. Kita pernah catat 16 kes.

“Kalau kekal 16 kes sampai hujung PKPB nanti atau catat kurang dua angka, mungkin Kementerian Kesihatan akan buat keputusan terbaik untuk rakyat Malaysia,” ujarnya lagi. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.