Khalid dakwa broker ‘jual’ nama setiausaha politik

182

17 MEI: Bekas Menteri Wilayah, Khalid Samad berkata, bekas setiausaha politiknya ditahan dan direman polis selepas sebuah syarikat arkitek diberi Development Order (DO) atau kebenaran merancang palsu oleh seorang broker.

Katanya, broker tersebut menerima ganjaran dengan menjual nama Haji Azli yang kononnya telah mendapat DO berkenaan bagi pihaknya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen AMANAH Shah Alam berkata, broker tersebut turut ditahan.

Beliau membuat penjelasan itu dalam ciapan di Twitternya malam ini selepas tular berita polis Bukit Aman memulakan siasatan ke atas dakwaan rasuah membabitkan seorang bekas menteri di bawah kerajaan PH.

Menurut laporan media, setiausaha politik menteri itu sudah ditahan Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur untuk disoal siasat atas dakwaan rasuah membabitkan beberapa pemaju di ibu negara.

Satu laporan dibuat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya tidak boleh menceritakan lebih dari itu kerana kes ini masih dalam siasatan polis. Saya diberitahu ‘broker’ berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah jual nama ini. Kepercayaan “cash is king” memungkinkan broker berjaya,” ciap Khalid lagi.

Difahamkan polis akan memanggil bekas menteri itu dan timbalannya tidak lama lagi, serta pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, sumber SPRM berkata, ini adalah kes polis dan pihaknya akan membantu jika diminta.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.