Covid-19: Plasma bekas pesakit belum digunakan

23

17 MEI: 22 pek plasma darah didermakan bekas pesakit Covid-19 yang sudah pulih kepada Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum digunakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan ketika ini, belum ada keperluan untuk plasma berkenaan digunakan.

Beliau berkata, setakat ini sembilan bekas pesakit sudah tampil mendermakan plasma masing-masing termasuk tiga daripada mereka yang menderma sebanyak dua kali.

“Kita sudah ada tapi tidak digunakan setakat ini dan sekiranya ada keperluan kita akan gunakan.

“Kita sudah salurkan plasma ini bukan sahaja di Kuala Lumpur tapi Kuching, Sarawak dan Sabah, tapi isunya bila kita boleh gunakan.

“Kita ada kapasiti tapi jika ada indikasi untuk gunakan, kita akan gunakan terutamanya kepada pesakit yang mempunyai respon imun yang rendah,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, Ahad. 

Sementara itu, sebanyak 22 kes baru Covid-19 dicatat hari ini menjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 6,849 kes, dengan 1,210 daripadanya ialah kes aktif.

Dalam pada itu turut dimaklumkan KKM, sebanyak 59 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh setakat ini berjumlah 5,571, atau 80.8% daripada jumlah keseluruhan kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 22 kes baru yang dilaporkan, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 17 kes adalah penularan tempatan di mana sembilan kes melibatkan bukan warganegara,” katanya lagi.

Sebanyak 13 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan tujuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga memaklumkan tiada kes kematian baru yang dilaporkan, menjadikan angka korban akibat Covid-19 kekal sebanyak 113 orang, iaitu 1.64% daripada jumlah keseluruhan kes.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.