‘Tak pelik Warisan di Sabah hancur seperti Bersatu di Kedah’

826

16 MEI: Tindakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tidak ‘sebulu’ dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri akan menyusahkan wakil rakyat di negeri itu.

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, ahli parlimen yang baru dilantik mungkin tidak akan menerima peruntukan dari kerajaan pusat kerana dilihat seperti menyokong Shafie.

Namun dalam masa yang sama ahli parlimen itu perlu memikirkan bagaimana kebajikan rakyat boleh dijaga dengan baik jika tidak mendapat peruntukan dari kerajaan pusat.

“Apabila Warisan memilih untuk tidak menyertai PN, parlimen dia akan kehilangan peruntukan, jadi kebanyakan YB baru akan minta peruntukan tersebut dari kerajaan negeri.

“Bila tak dapat, serangan akan tertumpu kepada  Shafie dan mereka akan beralih menyokong Tan Sri Musa Aman,” katanya kepada PNBBC portal.

Sehubungan itu Bung berkata beliau tidak menolak sekiranya terdapat gerakan untuk menjatuhkan kepimpinan Shafie kini.

Malah perkara itu dilihat bukan lagi secara tersembunyi, kerana ketidakpuasan hati itu dilontarkan secara terang-terangan kepada kepimpinan negeri Sabah.

“Kita kena tahu dalam politik ini banyak kemungkinan, memang tiada kepastian tapi sudah ada pergerakan. Jadi jika Warisan di Sabah ini jatuh suatu hari nanti, ia memang tidak mustahil,” tegas Bung.

Sebelum ini Shafie diramalkan akan kehilangan kerusi majoriti DUN Sabah menjelang Julai 2020 yang akan menyaksikan sokongan beralih semula kepada Musa Aman.

Difahamkan, 16 ADUN daripada kerajaan Warisan dan PH akan beralih memberikan sokongan kepada Musa Aman di samping kerjasama, Ahli Parlimen UMNO Kinabatangan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor, Presiden Parti Solidariti Tanahairku Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan bersama parti politik pimpinan masing-masing dan beberapa parti politik lain menyatakan sokongan kepada Musa Aman.

Ini kerana sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, Musa Aman dilihat tidak mempamerkan sebarang corak propaganda politik, tetapi beliau cenderung memberi fokus kebajikan rakyat di samping memberikan ruang untuk rakyat menilai kemampuan tadbirurus Shafie Apdal.

Dalam pada itu Bung berkata selain sokongan Shafie terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang menimbulkan kemarahan banyak pihak, beberapa isu lain seperti ekonomi dan kebajikan rakyat turut menyumbang kepada kejatuhan Warisan nanti.

“Seperti saya katakan, Sabah masih sama, tiada kemajuan dan pembangunan, isu Covid-19 pula diberi bantuan secara tidak adil. Seharusnya sebagai pemimpin, bantuan perlu diberi kepada semua pihak. Bukan dipilih mengikut kroni,” ujarnya. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.