Kes Riza: Mahathir dinasihatkan jangan bersikap hipokrit

794

16 MEI: Kerajaan menasihatkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamaf supaya tidak bersikap hipokrit dengan mengatakan beliau keliru susulan tindakan Mahkamah Sesyen memberikan pelepasan tanpa pembebasan kepada Riza Aziz baru-baru ini.

Menteri Undang-Undang, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu telah dibuat, Peguam Negara dan dilaksanakan oleh timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes ini di akhir tahun 2019.

“Saya merujuk kepada kenyataan Tun Dr. Mahathir tentang tindakan Mahkamah Sesyen memberikan Pelepasan Tanpa Pembebasan (Discharge Not Amounting To Acquittal) kepada Riza Aziz baru-baru ini.

“Kerajaan berharap Tun tidak bersikap hipokrit dengan mengatakan beliau ‘tertanya-tanya’, keliru dan tidak faham terhadap suatu keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara dan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes ini di akhir tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, tindakan Mahathir amat tidak munasabah sebagai bekas perdana menteri pada masa material dan kerajaan berharap pemimpin itu  tidak terus bertindak mengelirukan rakyat dengan mengatakan beliau ‘keliru’.

“Kerajaan PN akan terus bertindak mengikut undang-undang dan berpegang kepada prinsip kebebasan badan kehakiman dan proses perundangan yang sah mengikut undang-undang,” katanya.

Mahathir semalam berkata beliau  tidak bersetuju dengan hasil kes pengubahan wang penerbit Hollywood, Riza Aziz kerana bimbang ia akan dijadikan rujukan oleh pihak lain yang mencuri wang rakyat.

Bekas perdana menteri itu dalam satu rakaman video berkata, beliau “keliru” kerana pendakwaan terhadap individu yang didakwa “mencuri wang” boleh ditarik balik selepas tertuduh bersetuju mengembalikan wang itu.

“Dia curi berbilion, dia bawa dengan lori bagi balik kepada kerajaan, dia kata ini duit aku curi, sekarang jangan ambil tindakan ke atas aku,” katanya dalam video yang dimuat naik ke Facebooknya.

Riza yang juga anak Datin Seri Rosmah Mansor, dilepas tanpa dibebaskan daripada 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah ia tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.