Sekatan jalan raya di plaza tol bermula

132

15 MEI: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa sekatan jalan raya di plaza tol seluruh negara telah mula dilaksanakan untuk mengelakkan perjalanan rentas negeri menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.

Katanya, mana-mana individu yang cuba melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

“Sekatan jalan raya di plaza tol telah mula dilaksanakan bagi mengelakkan rentas negeri dan seperti yang saya katakan sebelum ini, perjalanan rentas negeri yang dibenarkan adalah empat hari sahaja melalui permohonan aplikasi Gerak Malaysia.

Katanya, selepas tempoh itu,perintah atau peraturan kembali kepada normal, tidak boleh melakukan rentas negeri kecuali dengan kebenaran polis.

“Maknanya sesiapa sahaja yang merentas negeri tanpa kebenaran polis tentu sahaja akan diambil tindakan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata pihak polis masih boleh mengenakan kompauan atau membawa mereka ke mahkamah untuk dihukum.

Beliau berkata setakat ini tiada kelonggaran diberikan kepada individu bujang untuk rentas negeri bagi pulang ke kampung.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.