‘Mungkin giliran Sabah tumbang seperti Kedah selepas ini’

3,908

15 MEI: Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Raime Unggi tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri Sabah pula bakal tumbang seperti Kedah selepas ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Raime berkata ia mengambil kira beberapa faktor yang kini menjadi kritikal sehingga menolak kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Orang cakap itu khabar angin, tapi dalam politik semua benda ni boleh berlaku, tak ada yang mustahil. Sebab apa? Sejak Warisan memerintah, janji pada rakyat Sabah tiada satu pun yang ditepati.

“Nak bawa masuk ‘foreign investment’ ke negeri ini? Tiada. Isu memberi bantuan kepada rakyat Sabah tentang Covid-19 pun, bukan semua dapat. Pilih bulu, kroni mereka sahaja yang perolehi.

“Dalam hal ini bukan soal kaya atau miskin, covid-19 ni bukan kira siapa pun, tapi sikap pilih bulu ni buatkan masyarakat Sabah mula naik angin dengan kepimpinan Shafie Apdal,” katanya kepada PNBBC portal.

Malah jelas Raime, tindakan Shafie yang menyokong bekas perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dipersetujui parti bersekutu, sekaligus menambahkan lagi keretakan dalam pentadbiran kerajaan negeri Sabah hari ini.

“Shafie sokong Mahathir, sedangkan Tun Mahathir pun dah ditolak sekarang. Mereka gelar Shafie ini pengkhianat. Kalau Tun Mahathir cakap ada sokongan ahli parlimen yang tak setuju dengan pentadbiran Muhyiddin, beritahu terus terang siapa, ‘list out’ 112 ahli parlimen itu,” tegasnya.

“Itu sahaja pun menimbulkan ketidaksenangan dan rasa tak puas hati dalam sekutu mereka di Sabah, jadi saya tak pelik jika ada beberapa ADUN Sabah yang beralih arah dan tidak lagi menyokong kepimpinan Shafie,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Shafie yang diramalkan akan kehilangan kerusi majoriti DUN Sabah menjelang Julai 2020 yang akan menyaksikan sokongan beralih semula kepada Musa Aman.

Difahamkan, 16 ADUN daripada kerajaan WARISAN dan PH akan beralih memberikan sokongan kepada Tan Sri Musa Aman di samping kerjasama, Ahli Parlimen UMNO Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Raden, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor, Presiden Parti Solidariti Tanahairku Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan bersama parti politik pimpinan masing-masing dan beberapa parti politik lain menyatakan sokongan kepada Musa Aman.

Ini kerana sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, Musa Aman dilihat tidak mempamerkan sebarang corak propaganda politik, tetapi beliau cenderung memberi fokus kepada kebajikan rakyat di samping memberikan ruang untuk rakyat menilai kemampuan tadbir urus Shafie.

Maka, jelas Raime, faktor-faktor tersebut mendorong sejumlah ADUN  untuk kembali mengalihkan sokongan terhadap Musa Aman bagi menjamin “political survivality” masing-masing. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.