Sultan Johor ingatkan Adun bahaya virus perpecahan

134

14 MEI: Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Johor bahawa sekarang bukan masa untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.

Menurut Baginda,  tindakan sedemikian hanya akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan.

“Virus ini nampaknya telah pun menular dalam kalangan pemimpin politik apabila berlakunya pergolakkan dan perebutan kuasa yang merungsingkan rakyat serta mengugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.

“Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak akan pedulikan tentang kepentingan rakyat, asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri,” titah Baginda.

Sultan Johor bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, dan YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim bertitah, virus itu mudah merebak melalui saluran media sosial yang bebas dengan dibantu oleh agen media dan ‘cyber troopers’ yang menjadi batu api dengan membangkitkan isu sensasi untuk menambah api kebencian dalam kalangan pemimpin politik dengan rakyat.

“Saya berharap virus perpecahan ini dapat dibendung bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan hidup rakyat yang telah kita bina selama ini,” titah Baginda lagi.

Justeru, Sultan Johor mahu semua Adun berganding bahu membantu rakyat yang sedang susah akibat terkesan dengan wabak COVID-19. – (FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.