Mahathir jangan terlalu obses hal politik sekarang

252

I4 MEI : Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim menemplak tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad terus ghairah dengan hal politik tanpa memikirkan masalah yang lebih besar melanda negara.

Katanya, isu utama negara sekarang dan perlu diberikan keutamaan adalah masalah  kesihatan melibatkan wabak Covid-19.

“Jangan terlalu obses dengan hal politik sekarang boleh? Nak bersidang tunggu lah Julai nanti, tak lari mana pun Parlimen tu. Kita semua tahu kalau bersidang berapa ramai yang akan berkumpul dalam dewan tu,” katanya mengulas kenyataan terbaru bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir berkata tindakan menyingkatkan sidang berkenaan kepada hanya beberapa jam berbanding sehari mengikut rancangan awal dilihat sebagai cubaan untuk menghalang beliau bercakap.

 “Jangankan sebagai orang ramai (orang awam), ahli dewan pun tak boleh bercakap dalam Dewan (Rakyat). Jadi, apa jenis kerajaan ini, yang mana ahli dewan tak boleh bercakap,” jelas Ahli Parlimen Langkawi itu dalam kenyataan melalui video yang dimuat naik di media sosial beliau, semalam.

Menurut Shahidan, adalah lebih baik kerajaan dengan rakyat mencegah wabak itu tersebar daripada lebih menyusahkan keadaan dikemudian hari.

Katanya, keputusan kerajaan memendekkan tempoh persidangan Isnin ini yang hanya tertumpu kepada titah Diraja adalah tepat buat masa ini.

 “Kita perlu patuh dan akur pada setiap keputusan yang dibuat kerajaan. Kalau fikir betapa masalahnya covid-19 sekarang dan ia perlu diselesaikan, jadi ia perlu menjadi keutamaan. Sebab kerajaan sekarang hanya memenuhi peruntukan undang-undang untuk setiap ahli parlimen hadir pada setiap 6 bulan, walaupun sehari.

“Macam saya cakap, masalah kesihatan adalah masalah negara sekarang. Parlimen boleh bersidang pada bulan Julai nanti, tak ada masalah. Kerana pada waktu itu mungkin PKP mempunyai perubahan yang lebih positif,” katanya kepada PNBBCportal.com.

Terdahulu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan pihaknya menerima surat pemakluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku ketua Majlis Dewan Rakyat memutuskan tiada sidang diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah Diraja pada pagi 18 Mei ekoran penularan Covid-19.-Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.