Terpulang PKR mahu saman

114

14 MEI : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sidam, Kedah, Robert Ling Kui Ee berkata, terpulang kepada PKR jika ingin menyamannya RM10 juta selepas bertindak keluar dari parti tersebut dua hari lalu.

Ini kerana tindakan serupa pernah dikatakan akan diambil terhadap wakil rakyat PKR yang keluar parti namun tiada sebarang kesan sehingga hari ini.

 “YB kata terpulang pada PKR nak saman, sebab bukan dia sahaja yang kena, sebelum ni YB (Datuk Seri) Azmin (Ali), YB Zuraida (Kamaruddin) pun kena saman yang sama, tapi saman itu tak boleh pergi kemana sebab tak sah.

“Sebab itu saman tersebut ‘mati’ sampai di situ sahaja,” menurut pegawai ADUN Sidam, Firdaus Yusof.

Semalam, Pengerusi PKR negeri Datuk Johari Abdul berkata, parti akan mengenakan saman kepada Robert dan Adun Lunas Azman Nasarudin kerana keluar PKR.

Katanya, sebelum ini mereka telah berikrar untuk tidak keluar parti dan sedar tentang implikasi undang-undang sekiranya berbuat demikian.

“Saman akan dikemukakan dan mereka hendaklah bersedia berdepan akibat perbuatan mereka.

“Mereka menjadi Adun selama 2 penggal atas sokongan rakyat yang memilih mereka bukan atas kekuatan mereka, tetapi kerana lambang yang dibawa, iaitu lambang PKR,” jelas Johari.

Robert dan Azman yang keluar parti mengumumkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat.

Dua wakil rakyat itu sekaligus menjadi Adun Bebas di kawasan masing-masing serta menyokong PN Kedah membentuk kerajaan negeri baharu. –OLeh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.