Covid-19: Lelaki 39 tahun mangsa ke-112

16

14 MEI: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun menjadi korban terbaru berkaitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini berkata kes kematian ke-112 itu mempunyai sejarah penyakit injap jantung.

Mangsa juga pernah kemalangan pada awal tahun yang mengakibatkan patah kedua-dua tulang utama di kaki dan sukar bergerak sendiri.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 12 Mei 9.52 malam di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Dalam perkembangan sama, 40 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 6,819 orang.

Hisham berkata 31 kes daripadanya dalam kalangan bukan warga Malaysia. “Ingin dimaklumkan juga, tiada kes import yang dilaporkan hari ini.”

Ketika ini seramai 1,356 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 16 di unit rawatan rapi dengan 4 memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, 70 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 5,351 orang.

Jumlah keseluruhan mangsa yang pulih bersamaan 78.5% daripada jumlah keseluruhan kes, manakala jumlah keseluruhan kes kematian bersamaan 1.64%.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.