Mukhriz anggap dirinya masih lagi MB Kedah

277

13 MEI: Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan dirinya masih lagi Menteri Besar Kedah meskipun banyak kenyataan yang dikeluarkan menyatakan beliau sudah hilang sokongan majoriti.

Bagi Mukhriz beliau masih menteri besar sehingga usul tidak percaya diluluskan di Dewan Undangan Negeri sekaligus menepis dakwaan Pengarah Pilihan Raya PAS Muhamad Sanusi Md Nor yang mendakwa kerajaan negeri itu telah jatuh.

“Suasana politik di kedah masih terkawal, saya masih lagi Menteri Besar dan kerajaan masih lagi wujud, tak benar dakwaan mana-mana pihak kerajaan ini telah jatuh semalam,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, Rabu.

Turut menyifatkan tindakan Sanusi sebagai ‘gelojoh’, Mukhriz berkata terdapat beberapa proses yang perlu diambil kira sebagai saluran yang betul sekiranya ingin menukar kerajaan.

“Kita tak buat keputusan berdasarkan sidang media kerana dalam hal ini ia memerlukan koresponden secara rasmi dari pihak berautoriti. Bukan dari pembangkang melalui sidang media, kita kena patuh pada perlembagaan negeri Kedah.

“Kenapa dikatakan semua ini perlu diselesaikan secepat mungkin? Sebelum 18 Mei, apa kaitan 18 Mei dengan Kedah kerana itu adalah tarikh parlimen?” soalnya lagi.

Menegaskan perkara itu, usul undi tidak percaya ini seharusnya dikemukakan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh pihak pembangkang kerana cara itu lebih terbuka.

“Jika di pihak sana ada jumlah yang mencukupi, maka hilang majoriti bagi kerajaan, proses itu akan berjalan macam biasa,” jelasnya.

Tambah Mukhriz lagi, setakat ini perkara itu belum lagi dikemukakan kepada pejabat Sultan Kedah.

Semalam Ketua Pembangkang Kedah, Sanusi Md Nor mendakwa 23 Adun negeri itu menandatangani akuan berkanun menyatakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz.

Katanya, surat akuan itu sudah diserahkan kepada setiausaha kerajaan negeri yang akan diserah kepada Istana Kedah untuk dipersembah kepada Sultan.

Dalam sidang media itu, Sanusi berkata seramai 19 Adun di Kedah bersetuju untuk menubuhkan kerajaan baru.

Adun PAS Jeneri itu turut mendakwa bahawa sebanyak empat Adun daripada Bersatu telah hilang kepercayaan terhadap pimpinan Mukhriz.

“Yang saya sebutkan tadi ialah 15 (Adun) daripada PAS, dua daripada BN dan dua bekas ahli PKR yang telah keluar parti tengah hari tadi dan empat Adun Bersatu.

“Dengan kehilangan kepercayaan, maka kerajaan PH Kedah telah jatuh dan hilang keabsahan kuasa selaku kerajaan negeri Kedah berkuat kuasa serta-merta.

“Justeru itu, atas kesepakatan bersama 19 daripada 23 Adun yang hadir pada hari ini bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Kedah yang baru atas nama kerajaan PN,” katanya.

Menurut Sanusi, bagi proses peralihan kuasa secara tertib dan aman, presiden parti gabungan PN di Pusat akan mengemukakan senarai nama  menteri besar baharu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri yang akan dipanjangkan kepada Sultan Kedah bagi pelantikan.

Menjawab soalan media, Sanusi berkata Adun Bersatu ialah Adun Guar Cempedak Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail, Adun Bukit Kayu Hitam Halimaton Shaadiah Saad, Adun Ayer Hangat Jauhari Bulat, Adun Kuah Firdaus Ahmad.

Bagaimanapun, mereka katanya akan mengadakan sidang media berasingan berhubung keputusan masing-masing.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.