Lebih 300 gelandangan ibu kota dipilih bekerja

18

13 MEI : Seramai 43 gelandangan dari ibu kota diberi peluang pekerjaan dalam sektor perkilangan dan perladangan di Sitiawan, Perak.

Mereka sebahagian daripada 300 gelandangan berjaya dipilih setelah melepasi saringan dan proses temuduga beberapa buah syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, seramai 96 gelandangan lagi yang ditempatkan di Anjung Singgah pula akan bekerja untuk proses pembungkusan produk-produk yang dihantar dari kilang syarikat sarung tangan.

“Kira-kira 200 warga gelandangan pula akan diberi kursus jangka pendek dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bakal ditawarkan pekerjaan di bawah DBKL.

“Mereka yang tidak berjaya melepasi temuduga oleh syarikat-syarikat yang terlibat akan diserapkan oleh DBKL,” katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Penempatan Pekerjaan Kumpulan Gelandangan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malam tadi.

Gelandangan berkenaan sebelum ini ditempatkan di pusat transit ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah Annuar lagi, kira-kira 100 warga gelandangan yang uzur dan tidak sesuai untuk bekerja telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Imigresen untuk diuruskan.

“Seramai 78 daripada mereka merupakan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah diserahkan kepada JKM manakala selebihnya warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Katanya, gelandangan berkenaan diharapkan dapat memulakan kehidupan baru selepas mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal untuk menampung perbelanjaan harian mereka.

“Hikmah daripada wabak Covid-19 dan PKP, kami berjaya mendapatkan kerjasama daripada pelbagai agensi dan syarikat swasta untuk menggajikan mereka sekali gus mengurangkan jumlah gelandangan di ibu kota,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.