APMM usir 2 bot nelayan Vietnam

34

13 MEI: Pihak berkuasa negara berjaya mengesan sekumpulan bot nelayan asing Vietnam di perairan Terengganu-Pahang dan mengusir mereka.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bot Vietnam tersebut dikesan di kedudukan 56 hingga 60 batu nautika timur hasil laporan awam yang diterima Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Terengganu pada jam 8:00 pagi 11 Mei lalu.

 “Sejurus laporan diterima, PUSOP menghubungi KM Gemia yang sedang memantau di kawasan sektor Quebec, iaitu 20 batu nautika dari Pulau Tenggol, kira-kira 40 batu nautika dari lokasi kejadian untuk memburu bot nelayan asing tersebut.

 “Apabila KM Gemia muncul, kesemua pemilik bot melarikan diri keluar dari tempat tersebut menuju ke arah sempadan perairan.

“Bagaimanapun, KM Gemia berjaya menahan dua bot nelayan asing Vietnam yang sedang leka melakukan aktiviti tunda ganding,” jelas APMM menerusi Facebook, semalam

Bot pertama dengan nombor pendaftaran KG95849TS membawa 12 awak-awak termasuk tekong dan bot kedua, KG95848TS membawa 13 awak-awak termasuk tekong.

Difahamkan kesemuanya warga Vietnam yang tidak boleh berkomunikasi Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Melayu.

“Selepas semua maklumat berkaitan bot, hasil tangkapan dan kru diambil, kesemua BNAV dihalau keluar dari perairan Malaysia.

“Sesuai dengan arahan semasa kerajaan susulan wabak penyakit berjangkit Covid-19, KM Gemia telah mengekori bot itu sehingga mereka keluar dari sempadan perairan Malaysia,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.