Dilarang panggil penggunting rambut ke rumah

64

12 MEI: Orang ramai tidak boleh memanggil penggunting rambut ke rumah atau pejabat dalam tempoh perintah kawalan pergerakan.

Ini kerana sektor kedai gunting rambut masih dalam senarai larangan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tatacara operasi standard (SOP) sama. Jadi tak boleh, sama ada bawa penggunting rambut ke rumah, ke pejabat, ke kedai gunting rambut, sama saja,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya media mengenai laporan mengatakan seorang VIP memanggil penggunting rambut ke rumah untuk menggunting rambut.

Beliau tidak boleh mengulas kerana tidak pasti kesahihannya.

“Saya pun tak dapat berita perkara ini. Dari segi peraturan memang tidak dibolehkan,” katanya.

Kerajaan menyediakan senarai perkhidmatan dan perniagaan yang dibenarkan beroperais sepanjang perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa sejak 18 Mac.

Kedai gunting rambut dan salun kecantikan masih tidak dibenarkan beroperasi bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat, yang berkuatkuasa 4 Mei.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.