BN buat ketetapan undi secara en-bloc sokong Muhyiddin

239

12 MEI: Barisan Nasional (BN) akan terus memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya terdapat usul tidak percaya di Parlimen, ketetapan dibuat supaya semua Ahli Parlimen BN akan mengundi secara en-bloc menyokong Muhyiddin.

Katanya, perkara itu diputuskan Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya petang tadi.

Menurut Zahid, BN yang kini terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS akan terus menyokong dan mendokong Kerajaan Perikatan Nasional(PN) pimpinan Perdana Menteri.

“BN adalah kelompok terbesar dengan 43 kerusi Parlimen memberi sokongan kepada ahli Parlimen Pagoh dilantik sebagai perdana menteri ke-8, yang seterusnya membentuk Kabinet kerajaan Malaysia yang baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, berhubung pendaftaran PN secara formal sebagai sebuah parti seperti yang dicadangkan, BN berpandangan BN perlu melalui proses tertentu dalam parti komponen masing-masing.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.