Adham jawab tuduhan ada kepentingan kontrak peralatan perangi Covid-19

198

12 MEI: Tuduhan terhadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, mempunyai kaitan dengan syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) yang memperoleh kontrak perolehan darurat bagi pelaksanaan ‘Lab Maligation Solution For COVID-19’ disifatkan sebagai usaha pembunuhan karakter.  

Perkara itu ditegaskan melalui satu kenyataan daripada Pejabat Menteri Kesihatan yang dimuat naik di laman Facebook milik Dr. Adham Baba.  

Menurut kenyataan tersebut, Adham Baba tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam KJSB atau pemegang saham syarikat terbabit. 

“Perlu ditegaskan menteri tidak pernah memberi sebarang arahan kepada pegawai kementerian agar meluluskan pemberian kontrak kepada KJSB atau mana-mana syarikat. 

“Dakwaan itu jelas berniat jahat dan mendorong serta mencipta sangkaan buruk rakyat terhadap menteri kerana Iskandar Mirza sudah lama meninggalkan SANSB,” tegas kenyataan tersebut. 

Sebaliknya, tambah kenyataan itu lagi, kesemua urusan pembelian dan perolehan oleh kementerian tersebut sepanjang musim memerangi pandemik Covid-19 ini, dilakukan mengikut prosedur dan tatacara kewangan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Chen Chaw Min, dan pegawai-pegawai lain yang bertanggungjawab. 

Terdahulu, Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dalam satu kenyataan mendakwa KJSB mendapat kontrak secara perolehan darurat bagi pelaksanaan Lab Mitigation Solution For COVID-19 terbabit. 

C4 mendakwa antara syarikat yang menerima kontrak daripada KKM adalah KJSB.  Dua daripada anggota lembaga pengarah syarikat terbabit didapati orang yang sama dalam syarikat pemegang saham badan yang mengendalikan rangkaian klinik Dr Adham. 

Menurut kenyataan sama, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) membuat kenyataan umum berkenaan kemungkinan Dr Adham mempunyai kepentingan dalam KJSB. 

Ia berdasarkan kedudukan Iskandar Mirza Ahmad yang pernah menjadi pengarah South Asia Noble Sdn Bhd (SANSB) yang mempunyai kaitan dengan pemilik KJSB. 

Walau bagaimanapun, kenyataan daripada Pejabat Menteri Kesihatan tersebut, menjelaskan sebaliknya. 

“Menggunakan fakta Iskandar Mirza sebagai bekas pekerja (Pengarah SANSB) bagi mengaitkan menteri dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan syarikat lain sangat tidak masuk akal. 

“Iskandar Mirza menyertai SANSB dari 18 Julai 2007 hingga 30 Januari 2015 sementara Tan Boon Keong dan Tan Jiat Jui menyertai SANSB hanya dari 30 Januari 2015. 

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut berkata, pihak Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba sentiasa mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang sedang berjalan ketika ini, malah pihaknya sedia memberikan kerjasama sepenuhnya. 

Pihak Adham Baba juga mengingatkan kepada mana-mana pihak, sekiranya terdapat maklumat salah-laku atau sebarang penyelewengan, adalah dinasihatkan supaya membuat laporan polis dan SPRM beserta dokumen dan bukti bagi tujuan siasatan. 

Bukannya membuat kenyataan-kenyataan terbuka bersifat tuduhan dan provokasi sehingga menimbulkan fitnah dan berita tidak benar.  

“Adalah penting untuk sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat penyelewengan pembelian oleh KKM menyerahkan bukti dan dokumen kepada SPRM, bukannya melempar tuduhan rambang sehingga menimbulkan fitnah dan gossip tidak benar,” kata kenyataan itu. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.