Peralihan kuasa di Kedah tunggu ‘lampu hijau’ Istana

458

11 MEI: Proses peralihan kerajaan Kedah daripada PH kepada PN kini dikatakan hanya menunggu ‘lampu hijau’ atau isyarat perkenan daripada pihak Istana.

Ini termasuk menyerahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menentukan bakal menteri besar selepas kerajaan PH tidak lagi cukup majoriti mentadbir negeri.

Sumber mengesahkan kepada pnbbc portal, persetujuan sudah dicapai bagi membolehkan pertukaran kerajaan membabitkan 23 Adun terdiri daripada PAS, UMNO, Bersatu dan bekas Adun PKR.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang baharu itu menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, UMNO (dua), Bersatu (4) dan bekas wakil rakyat PKR (dua).

Ini selakigus menyebabkan kerajaan PH Kedah yang diketuai Datuk Seri Mukhriz Mahathir hanya tinggal 13 kerusi daripada 19 kerusi iaitu Bersatu (dua) PKR (enam) Amanah (tiga) dan DAP (dua).

Semalam, pimpinan PAS dan UMNO Kedah mengadakan perjumpaan bagi membincangkan kerjasama bersama 15 Adun PAS dan 2 Adun.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Kedah dan pimpinan parti negeri, hari ini.

“Calon Menteri Besar terserah kepada Tuanku (Sultan Kedah), sekarang masih ada Menteri Besar. Buat masa ini, (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) masih Menteri Besar,” katanya kepada media semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan bila PAS akan memohon menghadap Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi memaklumkan PN mempunyai bilangan majoriti ang cukup bagi mentadbir negeri itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hasan ketika diminta mengulas mengenai calon Menteri Besar turut menyerahkan perkara itu kepada Sultan Kedah.

Difahamkan calon menteri besar baharu nanti adalah daripada PAS berdasarkan jumlah 15 kerusi DUN diwakili parti itu.

Pemilihan calon PAS itu berdasarkan semangat syura yang dikatakan dipersetujui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini juga membuktikan beliau tidak angkuh dalam menentukan jawatan menteri besar berbanding apa dilakukan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas PRU14.

Beliau telah memilih Mukhriz walaupun PKR memiliki lapan kerusi DUN berbanding enam dimenangi Bersatu;

PKR ketika itu sudah mencalonkan Datuk Johari Abdul sebagai calon menteri besar.

Di Perak pula, Mahathir melantik Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu walaupun Bersatu hanya menang satu kerusi berbanding jumlah besar diperolehi DAP, PKR dan Amanah.    

Dalam hal Kedah, Muhyiddin nyata berhemah dan menggunakan pendekatan menghormati parti kawan di dalam PN yang mempunyai majoriti.

Apa pun proses peralihan kerajaan baharu Kedah dijangka dibuat dalam minggu ini atau selewat-lewatnya Jumaat selepas mendapat perkenan Sultan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.